Selamatkan rahim anda

Setelah lebih 45 tahun jadi pakar bidan, saya telah temui berbagai jenis kerosakkan berlaku pada organ peranakkan wanita. Ada wanita masih berumor dua puluhan sudah dilanda tumbuhan fibroid, adenomyosis dan ovary cyst.
Walaupun punca sebenar bagi penyakit2 tersebut tidak diketahui dengan jelas,  ada beberapa langkah yang perlu diambil untuk mencegah. Agent2 perosak  bertindak dari umur muda lagi,  bermula dengan tabiat makanan yang tidak seimbang, tidak berkasiat dan tidak berzat. Kurang makan sayur2 dan buahan2  dan lebih makan manisan dan karbohaidret serta pengawet dan perisa. Justeru daya tahan atau immunity menurun.

Tumbuhan Adenmyosis

Adakah anda mengidap senggugut teruk?

Ketumbuhan pada rahim bergelar adenomyosis. Rahim menjadi bengkak dan membesar seperti hamil tiga bulan. Gejala utama ialah senggugut yang amat teruk sehingga boleh menyebabkan anda berguling-guling perlu makan ubat penahan sakit (pain killer) dan sering cuti kerja. Ada yang mengalami perdarahan berterusan dan berpanjangan. Darah keluar berketul-ketul dan anda menjadi pucat anemia.

Dipercayai punca utama ini berlaku adalah darah haid yang meresap masuk ke dalam dinding otot rahim menyebabkan radangan atau inflamasi . Keadaan ini berlaku terus menerus setiap kali wanita berkenaan datang haid. Proses radangan/inflamasi dalam jangka panjang menyebabkan fibrosis pada otot rahim dan rahim terus membengkak. 

Berbeza dengan fibroid, fibrosis dan pembengkakan dalam adenomyosis melibatkan keseluruhan otot rahim. Ketumbuhan fibroid pula melibatkan hanya sebahagian otot rahim sahaja dan ia ada selaput atau kapsul yang menyelubungi ketumbuhan fibroid. Oleh itu fibroid mudah dibuang dengan pembedahan sedangkan adenomyosis sukar dibuang tanpa merosakkan rahim.

Ketumbuhan ini terus membesar atas pengaruh hormon estrogen. Bila putus haid baru ketumbuhan terkawal. Tetapi untuk menunggu putus haid mungkin mengambil masa puluhan tahun

Penyakit ini sering melanda wanita umur 40an tahun ke atas. Ia juga sering melanda pesakit endometriosis pada stage 4. Namun kini semakin ramai wanita muda berumur 30an tahun atau kurang dilanda ketumbuhan adenomyosis.

 

Dilema untuk merawat pesakit muda yang masih berharap untuk hamil

Ada dalam kalangan pesakit saya yang belum berumur 30 tahun sudah dilanda ketumbuhan adenomyosis. Malah ada yang belum berkahwin pun sudah mengidap penyakit ini. Punca sebenar penyakit endometriosis dan adenomyosis tidak diketahui tetapi kebanyakannya ada kaitan dengan penyakit endometriosis. Ramai gadis yang mengalami senggugut sejak remaja mengidap penyakit endometriosis.

Ia berpunca daripada ketumbuhan sel-sel endometrium yang terkandung dalam darah haid di luar rahim, biasanya di belakang rahim, sekitar kilang ovari, saluran falopia, usus dan pundi kencing. Dipercayai sel-sel endometrium sampai ke tempat-tempat tersebut akibat 'retrograde menstruation' atau limpahan darah haid ke belakang rahim. Dalam kaedaan biasa sel-sel darah haid dapat disapu bersih oleh sel-sel pertahanan (phagocytes). Apabila ketahanan atau imuniti menurun sel-sel endometrium terus tumbuh menjadi penyakit endometriosis.

Bila endometriosis menjadi terlalu teruk ia akan tumbuh dalam rahim sebagai ketumbuhan adenomyosis. Stres fizikal, mental dan emosi adalah faktor penyebab penting bagi penyakit endometriosis dan adenomyosis. Stres boleh timbul di tempat kerja; dalam pergaulan dengan rakan dan teman, di jalan raya ketika memandu, di rumah ekoran masalah keluarga dan lain-lain. Stres menyebabkan ketahanan badan/imuniti menurun lalu tubuh badan mudah diserang penyakit. 

Darah haid yang biasanya tidak mendatangkan mudarat jadi mengganas dan merosakkan bila imuniti menurun. Imuniti menurun juga sering disebabkan pemakan yang tidak seimbang dan kekurangan vitamin, logam dan antioksidan. Punca utama zat-zat tersebut ialah sayur-sayuran dan buah-buahan. Tabiat tidak suka sayur dan buah ketika zaman kanak-kanak dan remaja juga terlalu minat dengan fast dan junk foods menyebabkan kekurangan zat.

 

  • Perut membesar seperti hamil 5 bulan...

  • Tumbuhan Adenomyisis dalam rahim...

  • Bedah buang rahim atau hysterectomy...

Ovarian Tumor FIBROMA

Kebanyakan ketumbuhan dalam ovari adalah cyst dan mengandungi cecair

1  Endometriotic cyst/endometrioma/chocolate cyst mengandungi darah haid yang berwarna coklat dan sering pekat macam chocolate paste.

2 Serous cyst dan follicular cyst mengandungi cecair jernih kekuningan.

3  Mucinous cyst mengandungi cecair berlendir.

4. Hemorrhagic cyst mengandungi cecair campur darah.

5. Dermoid cyst mengandungi cecair berminyak, lemak , rambut, kartilaj, gigi dan tulang.

6. Corpus luteal cyst yang sering mengiringi awal kehamilan mengandungi cecair jernih dan kadangkala bercampur darah.

Tumbuhan fibroma ini saya bedah buang pada seorang pesakit berumur 30an. Saiznya 9 x 7 cm. Ia pejal dan keras saperti tisu parut timbul (keloid) atau seperti tumbuhan fibroid. 

Pada mulanya ketika  saya buat ultrasound scan tumbuhan ini sama saperti fibroid. Diagnosis sebelum bedah ialah pedunculated fibroid. Jangkaan saya salah dan ketika bedah ketumbuhan dalam gambar berasal dari ovari kiri. Saya bedah buang bersama fallopian tube yang membengkak (hydrosalpnix). Pembedahan digelar salpingo oophorectomy. Ovari dan tiub kanan normal.

Bedah Ovarian Cyst

Wanita berumur 29 tahun, masih bujang, disahkan mengidap tumbuhan ovarian tumor/cyst. Telah menjalani pemeriksaan dan ujian darah termasuk ujian CA 125 iaitu satu ujian tumor marker untuk mengesan kanser. Didapati tahapnya tinggi melebihi 100 unit sedangkan normal sepatutnya tidak melebihi 35 unit.

Beliau pun dinasihatkan untuk bedah buang semua termasuk rahim dan kedua-dua ovari. Bila saya periksa tumbuhan cyst besar macam hamil 5- 6 bulan. Tapi cyst tidak menunjukkan ciri-ciri kanser lalu saya nasihatkan bedah hanya buang ketumbuhan cyst sahaja tanpa buang rahim dan ovari.

Saya lakukan pembedahan ke atas pesakit ini (lihat video pembedahan). Saya sedut cecair berlendir daripada cyst lebih 3 liter - terdapat 2 kantong cyst mengandungi darah lama iaitu endometriosis. Cyst ini yang mungkin menyebabkan tahap CA 125 tinggi.

Alhamdulillah saya dapat selamatkan rahimnya serta ovari dan fallopian tube sebelah kiri. Beliau masih ada peluang untuk hamil bila berkahwin kelak.

Kanser Ovari

Asmawati berumur hampir 40 tahun, bujang dan sudah lama disahkan mengidap ketumbuhan kanser ovari dan pernah dibedah di hospital kerajaan beberapa tahun dulu.  Apabila ketumbuhan berulang kembali doktor-doktor di hospital tersebut menasihatkan agar diulang bedah. Dan kali ini mungkin perlu bedah dua atau tiga peringkat kerana ususnya telah melekat kepada tumbuhan tersebut, saluran kencing juga sudah tertekan dan mungkin tersekat oleh ketumbuhan kanser tersebut. Selepas bedah pula beliau harus menjalani chemotherapy.

Pesakit ini enggan mematuhi pelan rawatan tersebut lalu memohon saya merawat beliau. Saya bukan pakar dalam bidang rawatan kanser tetapi pesakit masih berazam agar saya melakukan pembedahan ke atas beliau. Pada mulanya saya enggan melakukannya kerana khuatir kesan sampingan yang buruk melibatkan usus dan saluran kencing beliau. Kali pertama  jumpa saya tahun lepas beliau mengadu kesakitan dan ketidakselesaan perut yang kelihatan kembung seperti hamil 7 bulan.

Ultrasound scan memang mengesahkan tumbuhan tumor pada ovari kanan yang mengandungi tumbuhan pepejal daging dan cecair lendir. Setakat untuk memberi keselesaan dan hilangkan sakit perut saya masukkan tiub ke dalam ketumbuhan tersebut dan lebih 2 liter cecair dikeluarkan. Beliau merasa sangat lega dan selesa serta boleh melakukan aktiviti harian. Tiub itu saya kekalkan dalam ketumbuhan dan setiap hari pesakit mengumpul dalam bag tiub itu antara 200 hingga 300 cercair lendir yang keluar dari ketumbuhan.

Kaedah begini diteruskan hampir 6 bulan sehingga tiub tersebut tersumbat. Terus tumbuhan membonjol besar semula seperti dahulu. Percubaan memasukkan tiub baru hanya kekal 2 hari sahaja apabila tiub tercabut dengan spontan. Beberapa bulan berikutnya pesakit amat menderita kesakitan sehingga amat sukar untuk berjalan.

Beliau mendesak saya membedah untuk buang ketumbuhan dan saya setuju melakukannya di salah sebuah hospital swasta. Saya katakan kepada pesakit kos mungkin melebihi RM20 ribu. Memang sukar untuk beliau mengumpul duit sebanyak demikian. Saudara mara membantu, permohonan keluar duit EPF dibuat. Permohonan bantuan daripada Baitul Mal pula ditolak sedangkan beliau sangat layak menerimanya.

Oleh sebab kekurangan dana biaya saya tawakal melakukan pèmbedahan di klinik saya untuk bantu biaya rawatan. Empat pint darah diberikan ketika dan selepas pembedahan. Memang amat rumit dan runcing situasi ketika pembedahan untuk membuang keluar tumbuhan kanser ovari sebesar tujuh bulan hamil. Sambil berdoa dan bertawakal saya teruskan dengan cekal untuk membedah buang ketumbuhan kanser. Seperti yang dijangkakan usus melekat kepada tumbuhan dan dinding perut. Saya berjaya membuang hampir kesemua ketumbuhan dan percaya masih ada sel-sel dan tisu kanser yang tertinggal kerana lekatan (adhesions) kepada usus . Saya mengambil langkah-langkah teliti agar tidak melukakan usus.

Saya anggarkan kehilangan darah sebab pembedahan adalah antara 500 - 700 ml sahaja. Situasi ini telah diatasi dengan transfusi 4 pint darah. Situasi lepas bedah juga mendebarkan dan beliau diberi jagaan rapi oleh staf nurse yang bergilir-gilir menjaga. Dua keadaan yang membimbangkan timbul iaitu pesakit terus menerus muntah dan tekanan darah yang tinggi.

  • Dermoid cyst. Benign Terratoma...

  • Kandungan cecair berminyak, rambut dan lemak...

  • Kandungan lain tulang, kartilaj dan gigi...

  • Tumbuhan fibrois - besar dan banyak...

  • Fibroid banyak ketulan...

  • 27 ketul fibroid dalam rahim seorang wanita...

Berbagai Penyakit Ketumbuhan

  • Fibroid besar 12 cm

    Pesakit berumur 42 tahun. Sudah ada 2 orang anak. Tidak mahu dibuang rahimnya. Mohon hanya dibuang fibroid sahaja.

  • Fibroid dibuka dua belah

    Mengapa takut buang rahim? Ramai yang takut hilang sifat kewanitaan akibat rahim dibuang. Bagi wanita muda macam pesakit ini saya cadangkan buat subtotal hysterectomy - bahagian atas rahim yang dilanda tumbuhan sahaja dibedah buang. Pintu rahim disimpan agar tidak ganggu huhungan kelamin.

 

Dermoid Cyst

Rabu 28 Mei 2014. Hari itu dua orang pesakit yang saya bedah didapati menghidap penyakit tumbuhan 'Dermoid cyst'  dalam kilang ovari.

Pesakit ini berumur 31 tahun, sudah berkahwin selama satu tahun setengah. Dermoid cyst pada ovari sebelah kiri berukuran 7 cm. Ia mengandungi cecair berminyak, lemak dan rambut.

  • Perut besar seperti hamil 7 bulan hamil. Cyst ovari kiri. Pesakit berumur 52 tahun...

  • Karung cyst ovary dikeluarkan dari perut setelah kandungan cecair disedut keluar...

  •  Cyst ini bukan kanser. Rahim normal dan ovari kanan normal dikekalkan tanpa dibedah...

  • Karung cyst ovary selepas disedut cecair. Ini adalah kes Benign serous cyst adenoma...

  • Perut kempis lepas buang cyst besar. Rasa lega setelah 7 kg tumbuhan dikeluarkan dari perut...

  • Cecair dalam cyst 5.5 liter...

 

Mengapa Penyakit Ketumbuhan Dalam Peranakan Wanita Semakin Meningkat?

Dewasa ini saya perhatikan penyakit-penyakit dalam peranakan wanita saperti fibroid, ovarian cyst, endometriosis, PCOS dan adenomyosis semakin meningkat dan melanda wanita dalam umur lebih muda. Mungkinkah ini ada kaitan dengan perubahan tabiat dan mutu pemakanan, sejak kecil sudah gemar makan fast dan junk food, tidak minat makan sayur-sayuran dan buah-buahan?

Mungkin juga ini disebabkan peningkatan tahap stres dan tekanan hidup, terjerat dalam perlumbaan 'rat race'. Tidak cukup masa tidur. Balik kerja larut malam. Tidak cukup waktu rehat dan sering solat pun tidak dilaksanakan.

Perubahan cara gaya hidup yang sangat kurang menggunakan tenaga fizikal, kurang senaman, tidak bersukan, tiada riadah. Berkebun, bersih rumah dan basuh kereta pun upah orang lain.

Bagaimana pula lambat umur kahwin dan hubungan seksual rambang? Memang benar faktor-faktor di atas menjadi penyebab bagi pelbagai penyakit dalam kalangan wanita. Walau demikian setiap penyakit ada berkait dengan faktor baka dan keturunan.

 

Fibroid Sekat Air Kencing

Pesakit berumur 45 tahun. Saya bedah buang beberapa fibroid besar. Oleh kerana beliau baru berkahwin saya tidak buang rahimnya. Beliau sihat tanpa gangguan haid.

Kurang setahun kemudian beliau mengalami sekatan air kencing dan pundi kencing menggelembung lalu menyebabkan kesakitan yang kuat. Pergi hospital kerajaan beliau dimasukkan tiub dan dikeluarkan air kencing.

Balik rumah air kencing tersekat lagi dan pihak hospital masukkan foley catheter lalu air kencing berterusan mengalir  ke dalam bag. Hari Rabu jumpa saya dengan foley catheter serta bag kencing. Bila saya scan ada ketumbuhan lagi sebesar 12 cm. Saya tidak terfikir dalam tempoh kurang setahun satu lagi fibroid besar telah tumbuh lagi di bahagian belakang rahim lalu menyekat saluran kencing.

Petang Jumaat itu jam 6.30 petang saya bedah beliau untuk buang rahim dan fibroid besar. Sukar juga pembedahan kerana rahim terperosok dalam rongga tulang punggung d ibelakang rahim dan melekat pada usus. Alhamdulillah beliau kemudian beransur pulih.

  • Sebelum bedah

    Umur 41 tahun, kahwin 6 tahun belum ada anak. Ketumbuhan fibroid pada rahim.

  • Selepas pembedahan myomectomy

    18 ketul fibroid dibuang ketika pembedahan. 4-5 ketul besar, yang lain kecil.

  • Rahim dijahit

    Rahim dijahit untuk dibaiki bagi memberi peluang hamil. Ovari dan saluran fallopian kedua-dua normal.

 

Fibroid dan Cyst Ovari Kanan

Pesakit berumur 36 tahun, belum berkahwin ada tumbuhan fibroid 9cm dan endometriotic cyst 9cm. Pembedahan dilakukan untuk buang fibroid dan cyst.

Bedah Fibroid Besar

Fibroid adalah ketumbuhan daging pada dinding rahim yang paling sering berlaku pada kaum wanita. Kebanyakan ketumbuhan ini tidak mengganggu tetapi setengah wanita mengalami perdarahan yang banyak serta berpanjangan ketika haid menyebabkan ia mengalami gejala kurang darah atau anemia.

Pesakit ini  berumur 38 tahun dan belum berkahwin. Beliau bercadang untuk berkahwin selepas pembedahan. Mengalami perdarahan yang banyak, tahap hemoglobin beliau turun hingga 7 gm%. (Normal 11 gm% keatas). Sebelum bedah perlu  ditransfusi darah sebanyak  3 botol.

Pembedahan untuk buang fibroid saperti ini memang rumit dan boleh menyebabkan perdarahan amat banyak lalu membahayakan nyawa pesakit. Beberapa doktor pakar yang merawat beliau sebelum ini menasihatkan bedah terus buang rahim sekali. Alhamdulillah saya telah bedah buang fibroid dan selamatkan rahim. Semoga beliau pulih dan seterusnya dikurniakan zuriat selepas berkahwin.

Bolehkah Pesakit Kanser Sembuh?

Reaksi orang terhadap pesakit kanser adalah berbeza. Ada yang terlalu takut pada penyakit kanser, ada yang biasa sahaja. Ada juga yang tidak kisah terhadap penyakit kanser. Ada sesetengah orang pula mengalami ketakutan atau fobia kanser. Ini merupakan suatu keadaan di mana seseorang itu sentiasa bimbang dan terganggu fikirannya; mungkinkah dia diserang penyakit kanser apabila timbul sesuatu tanda di badannya! Orang seperti ini sering menemui doktor jika timbul apa-apa masalah walaupun remeh-temeh. Fikirannya sentiasa terganggu oleh sebab ketakutan terhadap penyakit kanser.

Walaupun kita mesti berwaspada terhadap kemungkinan penyakit kanser, khususnya mereka dalam golongan berisiko sama ada daripada segi umur, terdedah kepada bahan-bahan yang mungkin karsinogenik akibat tabiat merokok, pendedahan terhadap bahan kimia, pancaran X-ray dan sebagainya, namun kita tidak perlulah sentiasa hidup dalam ketakutan hingga jiwa tidak tenteram. Sebaiknya, kita mengambil langkah berjaga-jaga. Terdapat ujian-ujian penapisan seperti X-ray, ujian sel pangkal rahim (pap smear), ujian darah atau sebagainya yang boleh mengesan kanser sebelum ada tanda kita patut mengambil langkah-langkah yang sewajarnya.


Tanda-Tanda Penyakit Kanser

Di antara tanda-tanda penyakit kanser ialah:

1.  Bagi wanita yang mengalami pendarahan selepas persetubuhan, pendarahan haid yang tidak tentu masa, keluar darah haid selepas putus haid, keluar keputihan dari kemaluan, perut kembung, bengkak kaki khususnya jika di sebelah sahaja, susut badan, tidak ada selera makan, bonggol atau ketumbuhan pada buah dada, keluar darah atau susu daripada puting buah dada walaupun tidak menyusukan dan kesakitan pada buah dada.

2.  Bagi kanser paru-paru pula, tanda-tandanya ialah batuk yang tidak boleh dikawal dengan ubat biasa, batuk darah dan sesak nafas. Pada bahagian tekak pula, hidung berdarah atau muntah darah.

3.  Bagi kanser dalam perut dan tali usus, antara tanda-tandanya ialah muntah darah, berak darah, sakit perut dan muntah-muntah yang tidak boleh dikawal. Bagi kanser pada buah pinggang dan saluran perkencingan, antara tanda-tandanya ialah kencing berdarah, sering hendak kencing dan sukar untuk membuang air kencing.

4.  Antara tanda-tanda kanser pada bahagian otak pula ialah sakit kepala, pening kepala yang biasanya tidak boleh diubat dengan ubat penawar sakit biasa. Manakala tanda-tanda bagi kanser tulang dan sendi ialah bengkak tulang atau sendi. Tanda-tanda bagi kanser sistem pendarahan ialah muka pucat, letih-lesu, mudah berdarah jika terkena luka dan sukar hendak tos darahnya serta demam yang tidak dapat dikesan puncanya.

 

Pengesahan Penyakit Kanser

Pengesahan penyakit kanser biasanya dilakukan secara ujian tisu yang diambil  daripada kawasan yang disyaki terkena kanser (biopsy) dan seterusnya dikaji di makmal kaji sel (hispatologi). Biasanya, di sinilah sel-sel kanser dapat dipasti dan disahkan. Walaupun demikian, ujian-ujian lain boleh menolong dalam membuat pengesahan kanser seperti ujian Ultrasound, X-ray, scanning MRI, Cat dan lain-lain.


Kaedah Rawatan Kanser 

Satu perkara yang sangat penting dalam menentukan kejayaan rawatan kanser ialah peringkat ketumbuhan kanser, sama ada ia masih terhad pada satu bahagian tubuh badan ataupun telah merebak ke kawasan persekitaran atau telah merebak jauh melalui saluran darah ke organ-organ penting seperti paru-paru, otak, hati, tulang dan sebagainya. Pada peringkat awal, sebelum ketumbuhan kanser dapat merebak, rawatan yang tepat akan memberikan hasil yang memuaskan, malah ia mungkin boleh pulih seperti sediakala. Tetapi, apabila kanser telah merebak jauh, kesan rawatan mungkin tidak begitu memuaskan dan pertumbuhan kanser mungkin sukar dikawal.

Satu lagi perkara yang sangat penting dalam menentukan kejayaan rawatan kanser ialah jenis sel kanser itu dan di bahagian mana kanser itu berlaku. Pelbagai jenis kanser boleh tumbuh dalam badan kita. Jika bentuk sel kanser itu amat luar biasa (anaplastik) maka kemungkinan sel itu membiak dengan cepat dan merebak luas lalu boleh menimbulkan masalah rawatan. Sesetengah sel-sel kanser pula kebal walaupun diberi rawatan dengan ubat-ubat kemoterapi atau dengan rawatan radioterapi. Dalam keadaan begini, hasil rawatan daripada pemulihan tidak begitu memuaskan.

Sesetengah penyakit kanser mengeluarkan tanda pada peringkat awal lagi, misalnya kanser pangkal rahim dalam kalangan wanita. Biasanya, sebelum menjadi kanser, sel-sel pada pangkal rahim menjalani beberapa peringkat perubahan, iaitu daripada sel normal kepada sel luar biasa. Kemudian ia menjadi kanser peringkat awal dan seterusnya kanser membiak. Lagipun, kanser pangkal rahim pada wanita boleh dikesan sebelum ia mencapai ke peringkat kanser dengan ujian pap smear. Dengan ini, ia mungkin boleh dicegah daripada menjadi kanser.

Dan jika ia telah menjadi kanser, dan dapat dikesan pada peringkat awal, ia boleh dirawat sepenuhnya. Tetapi, kanser dalam perut seperti kanser usus besar, perut, hati ataupun kilang ovari, kadang-kadang menimbulkan tanda yang agak lewat dan apabila tanda-tanda itu timbul, keadaannya telah tenat dan sel-sel kanser telah merebak. Dalam keadaan demikian, rawatan secara pembedahan dan rawatan dengan kaedah yang lain mungkin tidak akan memberi kesan pemulihan yang seratus-peratus baik.

 

Konsep Pembinasaan Sel Kanser Secara Spontan

Pernah kita mendengar cerita orang yang telah disahkan menghidap kanser dan setelah dirawat doktor mengatakan keadaan kansernya amat berat dan dia diberi tempoh hidup selama enam bulan atau setahun. Kemudian selepas tempoh tersebut, pesakit masih hidup lagi, malah dia lebih sihat daripada sebelum terkena kanser. Ini adalah di antara cerita-cerita yang kita pernah dengar. 

Pesakit-pesakit yang telah hampa dengan rawatan moden telah pergi berjumpa dengan perawat-perawat tradisional yang memberi bermacam-macam cara rawatan, mungkin secara jampi, atau secara rawatan tradisional seperti jamu, akar kayu, ubat sinseh dan sebagainya. Kita juga telah mendengar kisah seorang pengidap kanser, iaitu Jason Winters yang pernah menghidap penyakit kanser dan telah diberi tempoh hidup enam bulan tetapi dia terus hidup dengan menggunakan ubat-ubatan tradisional daripada berbagai-bagai ramuan akar kayu. Beliau telah mengolah satu ramuan yang dinamakan “Teh Jason Winters”. Dia percaya ia boleh mengubati pelbagai penyakit kanser.

Dalam keadaan cemas dan genting seperti ini, manusia akan menggunakan bermacam-macam cara dan kaedah untuk mengatasi masalah. Apabila rakan, teman atau saudara memberi cadangan tentang rawatan yang berkesan, mereka akan terus mencubanya. Walaupun kadangkala kita tidak mengetahui logik atau asas saintifiknya, memang tidak boleh disangkal bahawa ramuan-ramuan dalam akar kayu atau ubat-ubatan tradisional mungkin mempunyai kesan yang boleh membinasakan sel-sel kanser. Setakat ini belum banyak kajian telah dilakukan ke atas ramuan ubat-ubatan tradisional dan ubat akar kayu serta kesannya ke atas pelbagai jenis penyakit termasuk juga kanser.

Pakar-pakar perubatan memang mengakui bahawa sel-sel kanser pun boleh binasa dengan sendirinya, iaitu dalam proses yang dinamakan regresi spontan. Ini semua adalah dalam kuasa Allah dan sebagai manusia kita hanya berdoa dan mengharapkan agar penyakit yang dihidapi sembuh.


Prinsip-Prinsip Rawatan bagi Penyakit Kanser

Beberapa kaedah moden telah digunakan untuk merawat penyakit kanser. Antaranya ialah:

1.  Pembedahan

2.  Ubat kemoterapi

3.  Radioterapi 

 

Pembedahan

Kadangkala kanser hanya perlu dibedah sahaja tanpa rawatan lain. Tetapi ada kalanya, kita melakukan pembedahan ke atas ketumbuhan kanser kemudian diikuti dengan rawatan secara kemoterapi atau radioterapi. Ada sesetengah kanser pula boleh dirawat secara radioterapi sahaja seperti kanser pangkal rahim ataupun kanser tekak jika kanser tersebut masih pada peringkat awal.

Pembedahan bagi kanser adalah dianggap sebagai satu pembedahan yang besar dan kadangkala melibatkan pembuangan anggota terpenting. Contohnya, jika kanser itu melibatkan pangkal rahim maka keseluruhan rahim akan dibuang. Bagi kanser buah dada pula keseluruhan buah dada perlu dibuang termasuk sistem kelenjar di sekelilingnya. Jika kanser melibatkan tulang kaki, mungkin kaki tersebut perlu dipotong, dan jika melibatkan paru-paru kemungkinan satu paru-paru perlu dibuang. Begitulah keadaannya jika ia melibatkan lain-lain bahagian dalam badan. Biasanya, pembedahan untuk penyakit kanser memerlukan kepakaran pembedah yang mahir, dan pembedahan biasanya disertai dengan pendarahan. Oleh itu, bekalan darah mestilah cukup.

Waktu pemulihan selepas pembedahan mungkin lama jika ia melibatkan pembuangan anggota penting dalam tubuh. Kadangkala ia melibatkan pembedahan untuk membaikpulih atau reconstructive surgery. Misalnya, pembedahan pada muka yang disebabkan oleh kanser pada tulang dagu.

Semua bahagian tubuh yang telah dibedah perlu dihantar ke makmal kaji sel untuk dikaji setakat mana dan apa jenis kanser yang telah dihidapi pesakit. Jika sel-sel kanser telah merebak melalui saluran darah ataupun saluran kelenjar ke bahagian tubuh yang lain, maka pembedahan tidak dapat mengatasi masalah secara keseluruhan. Kaedah rawatan lain perlu diberikan seperti kemoterapi atau radioterapi. Sekarang ini, para pakar penyelidik penyakit kanser telah mencuba berbagai-bagai teknik untuk mengesan sejauh manakah sel-sel kanser telah merebak ke organ-organ terpenting dalam tubuh seperti otak, paru-paru, hati, tulang dan sebagainya. Dengan ini, rawatan lanjutan dapat diberikan dengan sewajarnya

 

Kemoterapi

Sesetengah penyakit kanser seperti kanser darah (leukimia), dan kanser rahim yang dinamakan choricarcinoma biasanya tidak memerlukan rawatan secara pembedahan, tetapi ia boleh dirawat dengan ubat-ubatan atau kemoterapi. Kegunaan ubat-ubat kemoterapi sebagai perawat kanser utama hanya terhad kepada beberapa jenis kanser sahaja dan sesetengahnya telah saya nyatakan di atas. Tetapi, ubat-ubat kemoterapi sering digunakan sebagai cara rawatan lanjutan selepas seseorang itu dibedah akibat daripada kanser yang dihidapi dan setelah dipastikan kanser itu telah merebak ke bahagian tubuh yang lain.

Terdapat banyak jenis ubat-ubat kemoterapi yang biasanya diberikan secara suntikan atau secara ubat tablet. Di negara kita ini, Institut Barah Kuala Lumpur banyak memberikan rawatan ke atas penyakit kanser. Rawatan ini memerlukan pengawasan yang rapi kerana ubat-ubat kemoterapi ini bukan sahaja membinasakan sel-sel kanser, tetapi ia juga boleh merosakkan sel-sel normal. 

Kesan sampingan ini boleh menimbulkan beberapa masalah kepada seseorang yang sedang mendapat rawatan kemoterapi, misalnya ia boleh menindas pertumbuhan sel-sel darah menyebabkan penghidap mengalami kekurangan sel darah putih untuk melawan penyakit. Akibatnya pesakit mudah diserang penyakit, khususnya kuman. Kadangkala, pesakit mengalami masalah rambut gugur ketika menjalani rawatan kemoterapi, bibir mungkin pecah terkena ulser. Inilah di antara beberapa kesan sampingan. Tetapi dengan pengawasan dan rawatan daripada doktor yang mahir dalam bidang ini, masalah tersebut Insya-Allah akan dapat dikawal. Rawatan dengan kemoterapi kadangkala perlu diulang setelah satu atau dua bulan kemudian khususnya jika doktor yang merawat itu mendapati ada tanda-tanda bahawa penyakit kanser itu masih aktif lagi

 

Rawatan dengan Radioterapi

Ini adalah satu kaedah rawatan yang penting bagi penyakit kanser. Pelbagai jenis radiasi telah digunakan dan kaedah rawatan ini boleh didapati daripada Institut Barah di Hospital Besar Kuala Lumpur untuk mengatasi pelbagai jenis penyakit kanser. Pesakit perlu dimasukkan ke hospital dan rawatan boleh dilakukan secara pancaran dari luar ataupun pancaran daripada logam radium yang dimasukkan ke dalam bahagian tubuh badan. Misalnya, dalam kes kanser pangkal rahim, rawatan secara radiasi adalah pilihan utama. Dalam kaedah rawatan ini, logam radium radioaktif dimasukkan ke dalam rahim untuk beberapa hari dengan tujuan supaya logam ini akan mengeluarkan bahang radiasi dan membinasakan sel-sel kanser. Di samping ia membinasakan sel-sel kanser, bahang radiasi juga boleh membinasakan sel-sel yang normal. Misalnya, dalam rawatan kanser pangkal rahim, sel-sel normal (kilang telur atau ovari) boleh juga musnah dan ini menyebabkan kehabisan hormon estrogen bagi wanita tersebut selepas rawatan. Kesan kehabisan hormon estrogen pada wanita ialah seperti kaedah putus haid.

Di antara kesan sampingan yang mungkin timbul akibat daripada rawatan radioterapi ialah kesan bakar pada kulit yang mungkin berwarna kehitaman sedikit. Tetapi dengan  teknik rawatan baru, kesan sampingannya dapat dikurangkan. Kadangkala, organ-organ lain di sekeliling ketumbuhan kanser boleh terganggu akibat daripada pancaran X-ray. Misalnya pada seorang pesakit yang sedang mendapat rawatan radioterapi bagi kanser pangkal rahim. Kadangkala pundi-pundi air kencing dan saluran najis akan mengalami kerosakan sedikit menyebabkan gangguan sementara dalam fungsi organ tersebut.

 

Perubatan Alternatif

Terdapat terlalu banyak kaedah perubatan alternatif atau pilihan lain, sama ada di pasaran tempatan atau luar negara untuk mengubati penyakit kanser. Pada asasnya saya bersetuju dengan kegunaan ubatan alternatif tetapi dengan syarat pesakit perlu menjalani rawatan perubatan moden dahulu. Perubatan alternatif digunakan sebagai rawatan tambahan atau sokongan khususnya dalam kes-kes di mana rawatan moden kurang berkesan.

Dalam Internet terdapat banyak laman-laman berkenaan perubatan alternatif. Baca dan nilailah dengan teliti sebelum membuat apa-apa keputusan untuk mendapatkan rawatan alternatif. Ada kalanya rawatan-rawatan tersebut berkesan dan ada kalanya tidak. Kita berusaha dan bertawakal kepada Allah SWT.

 

Rumusan

Walaupun ada hadis-hadis Nabi yang bermaksud : “bahawa setiap penyakit ada ubatnya”, masih banyak lagi kaedah rawatan yang belum kita ketahui. Apa yang kita ketahui hanya sedikit sahaja, Allah yang Maha Mengetahui. Walaupun demikian, kita sebagai pesakit perlulah berusaha mencari di mana sahaja kita ketahui ada kaedah  rawatan yang berkesan, khususnya rawatan yang berasaskan sains perubatan moden. Di samping itu, kita juga berdoa pada Allah SWT dengan insaf atas musibah yang menimpa diri kita. Kita patut banyak bersabar dan banyak bertasbih. Mungkin ini satu cubaan untuk menguji kesabaran kita, mungkin juga satu balasan bagi kesalahan yang telah kita lakukan pada masa lepas. Yang pentingnya ialah kita percaya, bahawa penyakit kanser adalah satu perkara yang diturunkan oleh Tuhan. 

Tentulah ada sebabnya, hanya kita sahaja tidak mengetahui apa puncanya. Perbanyakanlah berzikir dan bertafakur sambil memuji kebesaran Allah. Dengan bersabar menanggung kesakitan, kita akan mendapat pahala. Rawatan yang berlebihan boleh mempercepatkan maut.

Saya sendiri pernah melihat pengidap kanser diberi rawatan secara pembedahan diikuti dengan rawatan kemoterapi serta radioterapi atas keghairahan saudara mara atau doktor yang merawat. Perbuatan ini boleh memberi kesan yang tidak begitu baik kerana seperti saya nyatakan di atas, bahawa kaedah-kaedah rawatan seperti kemoterapi dan radioterapi boleh juga merosakkan sel-sel yang normal dan seterusnya mengganggu dan menjejaskan fungsi-fungsi organ tubuh badan yang lain. Rawatan yang berlebihan (overdose) boleh mempercepatkan maut seseorang penghidap kanser.

Satu perkara yang amat penting dalam rawatan penyakit kanser ialah pengesanan pada peringkat awal. Oleh itu, kita perlu sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengesan penyakit tersebut pada peringkat awal supaya apa jua kaedah rawatan yang diberikan boleh membaikpulih pesakit.

 

Jangan Takut Buang Rahim

Penyakit dalam rahim pada umur 40an kian meningkat terutamanya ketumbuhan fibroid, adenomyosis dan endometrial hyperplasia/polyps. Gangguan utama ialah perdarahan yang mungkin sangat banyak dan berpanjangan, adakala tidak tentu masa. Akibatnya ia mengganggu amalan ibadah kita juga menyebabkan kurang darah atau anemia yang boleh jadi teruk.

Gejala kedua ialah senggugut yang amat teruk. Ia boleh mengganggu keselesaan hidup dan kadangkala menimbulkan kesakitan ketika melakukan hubungan dengan suami.

Gambar-gambar di bawah menunjukan rahim yang dilanda ketumbuhan fibroid/ketumbuhan adenomyosis menjadikan rahim membesar hingga saiz 3 bulan hamil dan dinding endometrium menebal menimbulkan 'endometrial hyperplasia/polyps". Ia dibuang dalam satu pembedahan yang  digelar 'hysterectomy'. Wanita ini yang berumur 40an dan telah mempunyai 4 orang anak telah mengalami perdarahan haid yang perpanjangan (kadangkala sampai sebulan tanpa berhenti). Adakala perdarahan berlaku dengan banyak menimbulkan keadaan anemia atau kurang darah merah. Gejala ini telah berlarutan selama 2 tahun dan berbagai kaedah rawatan telah dicuba termasuk D&C dan ubat-ubatan penahan darah haid saperti norculut. Tetapi ia masih gagal mengawal perdarahan.

Ketika itu beliau dan suami bercadang untuk mengerjakan haji dalam tempoh sekitar dua bulan lagi. Mereka khuatir jika perdarahan ini melanda di tanah suci tentulah amal ibadah akan terganggu. Walaupun telah cuba untuk mengelakkan bedah buang rahim sekian lama, akhirnya mereka nekad dengan keputusan untuk bedah buang rahim. Ramai yang khuatir apakan kesan bedah buang rahim terhadap ciri kewanitaan dan juga hubungan jantina dengan suami.

Dalam pembedahan 'hysterectomy' biasanya saya tidak buang kesemua rahim tapi bahagian atas rahim yang biasanya dilanda dengan ketumbuhan seperti di atas. Bahagian pangkal rahim (cervix) dan sekurang-kurangnya satu kilang ovari saya kekalkan. Pada pangkal rahim terletak saraf-saraf seksual yang mempengaruhi kenikmatan seks dan ovari untuk mengeluarkan hormon bagi penyeri dan kejelitaan wanita. Walaupun haid tidak keluar selepas bedah, tapi sebenarnya ia belum menopaus/putus haid kerana ovari masih mengeluarkan hormon estrogen.

Lepas bedah wanita berkenaan masih perlu buat ujian pap smear dan scan (imbas) ovari setiap tahun untuk kesan penyakit. Tetapi bila sudah melepasi umur putus haid (50 tahun ke atas) ujian pap smear tidak perlu lagi melainkan beliau makan pil hormon gantian (HRT).

Comments

08.09.2021 15:03

Leeza

Slm Doc. Saya telah mengalami pembedahan cys dan ovari kiri pd 2018. Masaalah saya skrg, tiap2 bln bila dtg period… perut saya sakit yg amat sgt. Pangkal paha hingga lutut turut sakit jg.Sepjg period

18.08.2021 02:08

WAN NADIRAH WAN CHIK

Assalamualaikum Dr Arshat,
Berapakah kos untuk membedah ovarian cyst kategori mucvinous cyst adenoma

13.11.2020 07:48

Nurhidayah

Salam Doc Hamid,

Sy Ida berusia 31 tahun, sy bru di dignose sakit adenomyosis dan PCOS, masalah sy ialah sy masih belum mempunyai anak lg.. adakah adenomyosis tidak boleh smbuh?

12.06.2020 10:21

Mimi

Doc, apa kesan jika buang satu ovari?

31.07.2019 06:41

Nor Azura Abu Samah

hi doc..sy 36 thn..sy bersalin ceaser ank no 2..lepas sy bersalin ceaser utk ank ke 2 tu..period sy jd skit2 jer keluar..kenapa dh tk byk biasa yea doc..

11.09.2018 10:29

Aza

Hai doc..sy aza berumur 24tahun ..sy belum berkahwin..sy mmpunyai masalah iaitu darah sentiasa keluar walaupun bkn time period..mslh ini berlaku awal tahun iNi smpai la sekarang..

11.09.2018 09:10

NOR FAZIRAH BINTI MOHD NIZAM

hi,sy 25thun,bru dpt tahu ada fibroid.size dalam 2 cm ke 3cm.sy juga bru berkahwin 4 buln..adakah saya akn mglami kesukaran utk hamil2 ni,baru2 ni jgk ad kesn drh slps bersma suami.adkh ia serious?

24.08.2018 12:49

Moon

Saya 27 tahun dan mbgalami haid.berthun2 sya x datng haid.adakah sya penghidap cyst

26.07.2018 18:33

miza

salam doc .sy baru jalani laparoscopy uterus,ovari dan filopian.dh 2 weeks.sebelah atas kiri ari ari sy akn terasa sakit bila sy berjalan . masih ada titisan darah ( 3@4 ) keluar dri faraj.Normal ke?

10.07.2020 09:24

Ninie

Miza, bagaimana keadaan awake sekarang?

Maksud Saya 2 tahun selepas buang rahim?

16.07.2018 12:59

Shah Riena

Saya pernah mengalami ketumbuhan fibroid dan telah menjalani pembedahan buang fibroid dan rahim. Soalan saya adakah saya boleh berisiko mengalami cyst?

10.07.2020 09:26

Ninie

Shah riena, bagaimana keadaan awake skrg , 2 tahun selepas buang rahim?
Saya baru buang rahim Dan down